Wednesday 4 December 2013

DUNIA MATEMATIK KINI.....................

MATEMATIK.... PADA MASA KINI Kini pengajaran dan pembelajaran tidak lagi bertumpu kepada pengiraan operasi yang asas tetapi para pelajar belajar operasi tersebut secara tidak langsung semasa proses permainan. Dengan permainan atau rekreasi matematik, minat para pelajar boleh dipupuk. Secara lazimnya kita ketahui, bahawa tumpuan seseorang pelajar itu akan lebih jika dia melibatkan diri di dalam permainan. Para guru perlulah mengambil kesempatan ini, dengan membawa pendedahan baru kepada para pelajar mereka. Bak kata pepatah, ' Menyelam sambil minum air '. Semasa bermain pelajar secara sedar atau tidak akan meneroka dan seterusnya mengetahui serta memperolehi ilmu baru di dalam matematik. Sekiranya minat sudah berjaya ditanam di sanubari pelajar dengan sendirinya mereka tidak lagi merasakan bahawa matapelajaran matematik itu adalah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami. Menanam minat adalah lebih mudah berbanding memaksa pelajar menerima pengetahuan yang disampaikan oleh guru matematik.Matematik berbentuk rekreasi secara lazimnya banyak membantu para guru menanam atau memberi pendedahan konsep yang mudah diingati oleh pelajar. Sudah menjadi kelaziman seseorang manusia itu, pengetahuan atau pembelajaran yang diperolehi secara tidak formal ( bentuk permainan ) lebih diingati berbanding pengetahuan yang disampaikan secara formal. Para guru hendaklah bijak di dalam pemilihan matematik rekreasi yang bersesuaian dengan para pelajarnya. Galakan pelajar membuat penerokaan dan penjelajahan mereka sendiri untuk menemui pengetahuan baru. Pandulah mereka dengan soalan - soalan yang boleh merangsang minda bukannyya terus memberikan jawapan kepada pelajar. Cara tersebut akan hanya melemahkan pemikiran para pelajar. Mereka tidak diberi peluang untuk mengeluarkan idea masing - masing, sebaliknya terus menerima pengetahuan tersebut daripada guru. Penaakulan seseorang pelajar itu tidak sama. Aras pemikiran mereka bergantung kepada keupayaan otak mereka dalam mencerna maklumat matematik yang diterima. Bagi pelajar yang lemah, secara lazimnya mereka sudah tidak berminat pada matapelajaran ini kerana mereka telah mewujudkan satu kepercayaan bahawa matapelajaran ini adalah sukar dan hanya mereka yang bijak sahaja yang boleh menguasai setiap persoalan dan permasalahan matematik. Guru haruslah menghapuskan kepercayaan ini daripada para pelajar tersebut. Binalah satu kepercayaan baru, bahawa mereka juga mampu untuk menyelesaikan persoalan dan permasalahan tersebut seandainya mereka berjaya menemui pola yang dimaksudkan. Membina kepercayaan di dalam diri pelajar bahawa matematik amat mudah untuk diselami dan diterokai. Bukan hanya segelintir yang mampu menguasainya bahkan semua manusia di dunia ini berpeluang untuk berjaya di dalam penerokaan matematik. Berikan panduan dan rangsangan yang baik bagi menjernihkan minda pelajar dan seterusnya mereka berupaya membina konsepsi yang cemerlang di dalam matematik.Perubahan yang paling penting yang perlu dilakukan adalah perubahan dari segi pemikiran guru, cara penyampaian ilmu pengajaran dan kaedah serta pendekatan yang dilakukan bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran agar hasrat murni untuk menghasilkan pelajar yang seimbang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.